Monday, November 12, 2007

MAJALAH SAME - 2nd Edition

Majalah SAME (Sabah's Artist & Music Entertainment) terbitan Monggoyo Infotainment Wave (MIFVE) telah dilancarkan dengan rasminya pada 09 November 2007 yang lalu bertempat di Kompleks Asia City, Kota Kinabalu. Akhirnya, sebuah majalah yang ditunggu-tunggu oleh para peminat seni tempatan Sabah lahir juga dan nampaknya respons yang diterima daripada para pembaca agak positif.


Berbanding dengan edisi percubaan yang lalu, edisi ke-2 ini lebih mantap dan padat dari segi isi dan penyampaian. Kualiti warna juga saya rasa lebih baik berbanding edisi yang lalu. Satu pencapaian yang membanggakan oleh tenaga kerja Majalah SAME ini kerana berjaya membuktikan peningkatan yang ketara dari edisi ke edisi.


Saya mendapat maklumat bahawa majalah ini hanya akan dikeluarkan secara edisi, bermakna bila cukup info yang hendak diketengahkan barulah penerbitan dibuat. Ini membuatkan majalah ini istimewa pada setiap keluaran.


Cadangan saya untuk edisi akan datang, diharap SAME dapat mempelbagaikan lagi info berkaitan dengan artis dan muzik di Sabah ini. Seperti yang kita sedia maklum, negeri Sabah mempunyai keunikan tersendiri kerana mempunyai pelbagai etnik tapi masih dapat hidup dengan aman dan saling menghargai budaya masing-masing. Mengikut pengamatan saya, info berkaitan dengan artis-artis genre Dusun/Kadazan masih menguasai majalah ini. Saya amat berharap agar SAME dapat mencungkil cerita-cerita menarik daripada artis-artis Sabah yang memperjuangkan seni mereka melalui bahasa lain seperti Bajau, Murut, English, Melayu, Cina dan sebagainya. Bukannya bahan seperti ini belum ada diketengahkan oleh SAME, namun nampaknya masih agak kurang berbanding artis-artis Dusun/Kadazan. Saya rasa, mengikut pengalaman saya sebagai pembaca dan mempunyai ramai rakan yang meminati seni tempatan ini, majoriti daripada mereka adalah berbangsa Melayu, Bajau dan Cina. Apabila saya membawa majalah SAME Edisi Pertama dan Kedua kepada mereka, komen yang saya terima adalah mereka kurang terhibur dengan isi yang diketengahkan kerana mereka tidaklah minat sangat dengan artis-artis Dusun/Kadazan ini. Mereka ingin mencari cerita berkaitan dengan artis tempatan Sabah yang mereka minati dan semestinya bukan dari golongan yang menyanyikan Dusun/Kadazan. Semua ini hanyalah pandangan umum daripada saya sebagai seorang pembaca dan pemerhati, namun segala baik buruknya cadangan saya ini adalah atas budi bicara sidang redaksi majalah ini.


Untuk para pembaca dan peminat seni tempatan Sabah, anda dialu-alukan untuk mendapatkan majalah ini yang berharga hanya RM 9.00 senaskhah sahaja. Majalah ini mengandungi 72 muka surat bercetak (semua muka surat adalah berwarna). Saya kurang pasti sekiranya majalah ini telah diedarkan ke kedai-kedai, namun demikian anda boleh berhubung terus dengan SAME Magazine dengan menghantarkan email ke same_magazine@hotmail.com atau menghubungi MIFVE di talian 088-755730.


Kepada warga kerja SAME Magazine, selamat berjaya...

P/s:
Saya cuba upload gambar 'front cover' majalah ni di sini tapi nampaknya 'internet connection' di ofis saya kurang baik so, for more info about this mag, please pay a visit to http://www.kadusmusic.com/.

0 comments: